Friday, 31 May 2013

5.         CARA BELAJAR YANG BETUL
Berikut ini disenaraikan dua belas kaedah belajar yang berkesan untuk membantu pelajar berhadapan dengan dunia peperiksaan.

Pertama - Membawa buku ke mana sahaja mereka pergi
Amalkan sikap membawa buku setiap ketika. Sikap ini bukan bermaksud kita mesti membaca buku tersebut. Kemungkinan diri anda tidak membaca apa-apa , tetapi ia memupuk jiwa bersungguh-sungguh dengan kewajipan terhadap pelajaran. Sikap ini membolehkan anda menyemai budaya belajar yang positif dan sikap bertanggungjawab terhadap pelajaran.

Kedua - Buat nota ringkas
Pelajar yang cemerlang sentiasa membuat nota ringkas. Nota tersebut adalah untuk membolehkan anda merujuk kembali apa yang telah anda baca. Ia tidak menjamin ingatan anda tetapi ia meningkatkan kuasa ingatan anda. Dengan adanya nota ringkas, ulangkaji sehari sebelum peperiksaan menjadi lebih mudah.

Ketiga - Mengikut jadual sepenuhnya
Aturkan masa untuk setiap aktiviti yang anda hendak lakukan pada hari tersebut. Patuhi jadual belajar anda tanpa syarat. Jangan mengikut perasaan. Biar pun anda tidak suka belajar pada sesuatu masa, buka sahaja buku dan membacanya. Jika anda mempunyai disiplin yang kuat terhadap hidup, anda tidak akan lalai terhadap tanggungjawab untuk belajar. Pastikan anda peruntukkan masa untuk setiap mata pelajaran pada setiap hari jika anda mahu mencapai kegemilangan dalam semua mata pelajaran.

Keempat - Mencuba soalan tahun lalu
Pelajar cemerlang memperuntukkan masa untuk menjawab contoh soalan setiap hari. Ini akan membiasakan dirinya dengan corak soalan yang sering keluar dalam peperiksaan dan bagaimana menjawabnya. Pelajar yang hanya bergantung kepada buku teks tidak akan lulus dengan cemerlang kerana mereka tidak biasa dengan corak soalan peperiksaan.

Kelima – Ulang seberapa kali yang boleh
Setiap fakta yang dibaca akan terus diulang sebanyak yang mampu. Tidak ada had ulangan yang akan dilakukan, Selagi ada masa, anda boleh mengulangi apa yang telah dibaca biar pun anda sudah faham atau sudah mengingatinya. Semakin banyak anda membaca, semakin tinggi keyakinan diri anda untuk lulus dengan cemerlang.

Keenam - Sentiasa bertanya kalau tidak faham
Dekatkan diri dengan guru dan guna setiap kesempatan yang ada untuk menjawab kemusykilan anda. Biar pun anda sudah faham, anda masih boleh menanya. Ini akan menguatkan kefahaman dan ingatan anda. Anggapkan guru anda, kakak atau abang anda, kawan-kawan anda sebagai orang yang boleh membantu anda dalam hal ini.


Ketujuh : Berikan penumpuan pada pelajaran yang lemah
Jika anda lemah dalam Bahasa Inggeris atau Matematik, peruntukkan masa yang lebih untuk ulangkaji. Elakkan memilih mata pelajaran yang disukai dan abaikan mata pelajaran yang anda kurang suka.

Kelapan : Mengunjungi perpustakaan
Rapatkan dengan kawan yang mahu belajar. Perhatikan bagaimana mereka belajar dan semarakkan jiwa yang kuat seperti mereka. Tukar pendapat antara satu sama lain. Berikan tumpuan dan berkongsi soalan yang anda buat dengan mereka.

Kesembilan : Imbangkan masa kokurikulum dan akademik
Jika anda berada dalam tahun peperiksaan, jangan terlalu menumpukan perhatian pada kokurikulum kerana ini akan melalaikan diri dalam bidang akademik. Jika anda mahu berjaya dalam akademik, anda perlu mempunyai masa ulangkaji yang cukup di rumah. Masa ulangkaji untuk SPM ialah dalam lingkungan 5 jam ke 6 jam sehari. Jika masa minima tersebut tidak dipenuhi, anda mungkin perlu berjaga malam atau bangun pagi.

Kesepuluh : Persiapan minda sebelum ulangkaji
Lelapkan mata untuk beberapa minit dan wawasankan hidup anda kelak. Apa yang anda hendak capai? Apakah yang hendak anda berikan kepada ahli keluarga serta ibu bapa anda sebagai tanda kasih sayang dan terima kasih?. Adakah anda berhajat hendak mengharumkan nama keluarga dan negara anda ? Apakah kejayaan peringkat remaja yang membanggakan diri anda dan keluarga anda? Bila anda membaca buku, kaitkan dengan hidup anda. Anda bukan sekadar mahu lulus cemerlang dalam peperiksaan , anda mahukan hidup yang baik dan berkualiti.

Kesebelas : Elakkan gangguan emosi
Semua perkara yang merunsingkan dan mengganggu konsentrasi waktu belajar perlu diketepikan. Beritahu diri anda , “saya tidak relakan masa depan saya tergadai oleh perkara yang remeh-temeh ini.” Sebaik pemikiran atau perasaan negatif timbul, tuliskan pada kertas.

Kedua belas : Rancangkan jadual ulangkaji setahun
Tetapkan ulangkaji anda sehingga hari peperiksaan. Sebulan sebelum peperiksaan, anda perlu menyiapkan ulangkaji. Pastikan setiap mukasurat dibaca dan setiap soalan dijawab. Ini boleh dilakukan dengan membahagikan bilangan mukasurat buku dengan bilangan hari yang ada. Jika anda gagal mengulangkaji mukasurat berkenaan pada hari yang ditetapkan tandakan dengan besar menggunakan pensil. Pastikan anda membaca mukasurat ini sebelum peperiksaan tiba tetapi sebelum anda membaca mukasurat yang ditandakan, pastikan anda telah siap mengulangkaji mukasurat yang ditetapkan untuk hari tersebut.


Secara kesimpulannya, belajar adalah suatu seni. Jika anda tahu menguasai seni tersebut, anda boleh berjaya biar pun diri anda mempunyai beberapa kekurangan. Semoga panduan ini menguatkan iltizam anda untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam pelajaran.

No comments:

Post a Comment