Friday, 31 May 2013

       1.    PEMBUANGAN BAYI

Hamka pernah mengungkapkan “Anak adalah untuk zaman yang akan datang, bukan untuk zaman kita”. Setiap pasangan yang berkahwin sememangnya mengimpikan untuk mempunyai anak sama ada lelaki atau perempuan sebagai penyambung keturunan mereka di dunia ini. Anak yang dilahirkan akan dijaga dengan penuh kasih sayang sehingga ada yang sanggup berjaga siang dan malam demi anak tersayang. Walaubagaimanapun, sejak akhir-akhir ini kita selalu dihidangkan dengan berita pembuangan bayi yang dilakukan oleh segolongan manusia yang berjiwa binatang. Bayi yang dilahirkan dibuang bagaikan sampah di merata-rata tempat tanpa belas kasihan. Oleh sebab itu, punca, kesan-kesan dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah pembuangan bayi akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

Kes pembuangan bayi diibaratkan sebagai penyakit sosial yang akan membelenggu negara kita daripada menjadi masyarakat yang bersifat penyayang yang merupakan salah satu daripada sembilan cabaran Wawasan 2020. Pembangunan dari segi kerohanian pasti terbantut disebabkan nilai kemanusiaan diketepikan. Penyakit sosial ini juga turut mencerminkan kerapuhan pegangan agama dan ketandusan nilai kemanusiaan segelintir anggota masyarakat sehingga keliru antara amalan yang mulia dan berdosa. Sebenarnya setiap manusia yang hidup memang mendapat dorongan dan panduan dari agama masing-masing.

Sebenarnya setiap manusia yang hidup memang mendapat dorongan dan panduan dari agama masing-masing. Nilai murni sentiasa diberi penekanan. Malangnya nafsu dan perasaan negatif telah mengaburi jiwa dan minda manusia sehingga bertindak diluar batasan kemanusiaan. Bayi merupakan golongan yang tidak berdosa. Bayi ibarat sehelai kain putih dan memerlukan kesabaran dan ketelitian orang dewasa untuk mencorakkannya. Mereka mestilah dijaga dengan penuh kasih sayang. Janganlah manusia bertindak mengikut perasaan dan berlaku zalim terhadap mereka. Perlu disedari bahawa mereka akan membesar dan menjadi dewasa seterusnya menjadi peneraju yang membawa hala tuju negara. Lantaran itu menjadi satu kerugian kepada negara apabila masalah pembuangan bayi semakin berleluasa.

Pada pendapat saya, punca utama yang menyebabkan pembuangan bayi keruntuhan institusi kekeluargaan dalam masyarakat kita. Ibu bapa yang merupakan ketua keluarga telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka mendidik anak-anak menjadi insan yang bersahsiah dan berperibadi mulia. Mereka sibuk dengan tugas-tugas seharian sehingga anak-anak terabai. Anak-anak yang kekurangan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mereka lebih cenderung untuk mencari keseronokan di luar rumah. Akibatnya mereka terjebak ke kancah permasalahan sosial seperti melakukan seks bebas sehingga mengandungkan anak luar nikah. Pada masa itu barulah mereka sedar bahawa mereka sudah terlanjur dan jalan terbaik untuk menyelesaikan permasalahan tersebut adalah dengan membuang bayi yang dikandungkan. Mereka melakukan perbuatan terkutuk ini adalah untuk menyembunyikan perbuatan keji mereka daripada pengetahuan ibu bapa. Jelaslah bahawa kerapuhan institusi kekeluargaan merupakan punca utama berlakunya masalah pembuangan bayi di negara kita.

Seterusnya masalah pembuangan bayi juga berlaku disebabkan golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Sewaktu bercinta semuanya indah belaka sehingga si wanita sanggup menyerahkan segalanya untuk membuktikan kesetiaan dan cinta kepada pasangan mereka. Mereka mudah lemah kepada pujuk rayu kekasih hati yang kononnya berjanji mahu sehidup semati dengan mereka. Akhirnya, mereka rela bersekedudukan dengan pasangan bagaikan pasangan suami isteri walaupun tiada ikatan perkahwinan. Setelah si wanita hamil maka berlakulah konflik dalam kehidupan kerana si lelaki mahu melepaskan diri daripada tanggungjawab. Wanita yang hamil tersebut terpaksa untuk membuang dan mengugurkan bayi dalam kandungan demi menutup aib kerana mengandungkan anak luar nikah. Sekiranya tidak mahu berbuat seperti yang diarahkan, mereka akan ditinggalkan. Dalam situasi begini, si wanita tiada pilihan lain selain menurut kehendak pasangan mereka, bak kata pepatah “ditelan mati emak, diluah mati bapa”.

Selanjutnya, masalah pembuangan bayi semakin berleluasa di negara kita disebabkan bertambahnya pusat-pusat hiburan di negara kita terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Remaja lelaki dan perempuan biasanya berkumpul di pusat-pusat hiburan ini pada setiap hujung minggu. Mereka bergaul bebas antara lelaki dan perempuan sambil meminum minuman keras. Dalam keadaan separuh sedar, remaja perempuan biasanya mudah digoda oleh remaja lelaki. Golongan remaja sebegini tidak berfikir panjang dalam melakukan sesuatu kerana bagi mereka yang penting ialah keseronokan. Perlakuan seks bebas yang berleluasa di pusat-pusat hiburan menyebabkan ramai remaja yang terpengaruh sehingga ada dalam kalangan mereka yang mengandungkan anak luar nikah. Apabila sudah mengandung barulah mereka sedar kesilapan diri, ibarat kata pepatah, “sudah terhantuk baru nak terngadah”. Walaubagaimanapun segalanya sudah tidak berguna kerana “nasi sudah menjadi bubur”. Akibatnya mereka mengambil keputusan mudah iaitu membuang bayi yang dikandungkan.

Bagi mengatasi masalah ini, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling hendaklah diperluas dalam kalangan remaja yang bermasalah. Remaja perempuan yang sudah terlanjur sehingga mengandungkan anak luar nikah hendaklah dibantu bukannya disisihkan dan dicerca. Ibu bapa hendaklah membawa mereka berjumpa dengan kaunselor untuk memulihkan semangat dan keyakinan mereka sehingga anak yang dikandungkan dilahirkan dengan sempurna. Kita harus tahu bahawa setiap insan melakukan kesalahan, ibarat kata pepatah, “bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora”. Jika kita prihatin terhadap permasalahan mereka, sudah pasti mereka tidak akan kehilangan arah dan hilang pertimbangan. Oleh itu, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling hendaklah diperhebat dan lebih mesra remaja agar mereka tidak malu untuk menceritakan masalah dengan kaunselor apabila mereka berhadapan dengan situasi begini.

Pembuangan bayi dalam kalangan remaja pada hari ini akan memberi kesan dan impak yang begitu besar dalam masyarakat. Remaja merupakan aset utama negara pada masa akan datang dan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara. Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti berlaku seandainya remaja pada hari ini tidak tahu bagaimana untuk membentuk dan memuliakan akhlak mereka.

Kesan-kesan pembuangan bayi boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian seperti kesan kepada bayi, ibu yang melahirkan, keluarga remaja perempuan yang terlibat dalam pembuangan bayi, kesan kepada masyarakat dan juga kesan kepada negara kita sendiri. Bayi merupakan anugerah tuhan yang paling berharga kepada pasangan suami isteri  tetapi bayi juga menjadi bebanan kepada pasangan-pasangan kekasih yang telah terlanjur dan tidak bersedia memikul tanggungjawab di usia yang masih mentah iaitu usia remaja.

Akibat dari tiada perasaan keperikemanusiaan, bayi telah menjadi mangsa dan kesannya mereka hidup tanpa mengenal ibu bapa kandung. Mereka juga mungkin terpaksa memikul gelaran anak luar nikah walaupun mereka tidak berdosa. Apa yang lebih teruk, bayi-bayi ini mati akibat daripada perbuatan yang dilakukan oleh manusia yang tidak mempunyai hati nurani kerana bayi-bayi ini dibuang di tempat yang tidak sepatutnya diduduki oleh bayi yang masih lemah dan kecil misalnya dibuang di tandas, rumah kosong, sungai, longkang, tong sampah atau rumah ibadat. Selain itu, tempat-tempat tumpuan awam seperti gerai makan, stesen kereta api dan pintu pagar klinik kesihatan turut menjadi pilihan. Kesempitan hidup wanita yang hamil tanpa nikah ini biasanya dihantui perasaan takut dan malu serta kemungkinan disisihkan oleh keluarga dan kawan-kawan.

Ekoran daripada kesusahan hidup yang terpaksa dilalui, terdapat sindiket yang mengambil kesempatan untuk memperdagangkan bayi-bayi itu dengan tujuan bagi mendapatkan pulangan keuntungan yang lumayan. Kesan yang kedua adalah kesan kepada ibu bayi berkenaan atau pesalah. Kesan dari sudut perubatan adalah pesalah akan mengalami jangkitan kuman, kecederaan sewaktu bersalin dan juga kehilangan darah kerana tidak berada dalam jagaan yang sebenar. Majoritinya mereka melahirkan sendiri tanpa pertolongan pihak hospital mahupun orang lain. Selain itu, kesan dari psikologi dan sosial adalah pesalah akan mengalami kemurungan, hilang keyakinan diri, rasa bersalah, resah dan juga masalah emosi. Hal ini akibat daripada perbuatan mereka sendiri yang sememangnya salah dari segi undang-undang, agama dan negara.

Memandangkan masalah pembuangan bayi meninggalkan kesan buruk dalam masyarakat, pelbagai langkah dan inisiatif perlu diambil bagi membendung penyakit sosial ini. Ibu bapa mestilah memainkan peranan yang sewajarnya terhadap anak-anak dari sudut pergaulan sesama rakan agar tidak melampaui batas. Nilai murni dan kemanusiaan serta pegangan agama yang kukuh haruslah disalurkan dalam jiwa anak-anak sejak mereka kecil kerana melentur buluh biarlah ketika rebungnya. Insan yang berakhlak mulia sejak kecil pasti tidak sanggup bertindak diluar norma kehidupan untuk melakukan perlakuan yang negatif. Selain itu, pendedahan kepada pendidikan moral dan agama merupakan langkah yang wajar kerana dapat menerapkan nilai-nilai yang mulia.

Ibu bapa harus menilai semula peranan mereka sebagai ketua keluarga. Mereka tidak boleh terlalu materialistik sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak. Mereka harus meluangkan masa pada setiap hari untuk berkomunikasi dengan anak-anak agar mereka tidak kehilangan tempat untuk mengadu. Para ibu bapa harus sedar wang ringgit yang diberikan kepada anak-anak tidak dapat dijadikan pengganti diri kerana wang ringgit itulah yang boleh menghancurkan kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah ambil tahu segala aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka di luar rumah. Mereka tidak boleh lepas tangan kerana “malang tidak berbau”. Ruang kebebasan yang diberikan terlalu banyak boleh membuka ruang kepada anak-anak terpengaruh dengan pelbagai gejala sosial di luar rumah. Jika kita mahu mengatasi masalah pembuangan bayi hingga ke akar umbi, peranan ibu bapa hendaklah diperkasakan semula kerana pendidikan seharusnya bermula dari rumah.

Undang-undang bagi kes pembuangan bayi mesti diperketat lagi. Hukuman juga mestilah setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. Tindakan perundangan ini diharap dapat memberi kesedaran kepada segelintir masyarakat supaya tidak melakukan sesuatu dengan sesuka hati. Langkah menguatkuasakan hukuman yang berat wajar untuk membawa pihak yang bertanggungjawab membunuh bayi dihadapkan ke mahkamah sekaligus diberikan hukuman setimpal dengan tindakan tidak berperikemanusiaan. Oleh itu tiada alasan dan maaf bagi mereka yang masih sanggup melakukan kesalahan membuang bayi kerana perbuatan mereka tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang.

Kesedaran sivik kepada masyarakat sahaja tidak mencukupi, masyarakat harus disedarkan juga atas perlakuan jenayah membuang bayi ini dengan mengenakan hukuman yang berat seperti gantung sampai mati ataupun hukuman penjara. Ini perlu bagi membendung gejala ini yang semakin berleluasa dewasa ini serta amat menggerunkan.

Pihak yang bertanggungjawab perlulah membanteras pengedaran bahan-bahan lucah daripada tatapan anggota masyarakat terutama golongan remaja. Seterusnya, program-program hiburan melampau yang merosakkan akhlak perlulah dihentikan dan ibubapa perlulah mengawal pergerakkan anak-anak dari terjebak dengan aktiviti tidak bermoral. Usaha-usaha pencegahan kegiatan tidak bermoral perlulah dipertingkatkan oleh semua pihak.

Secara kesimpulannya, setiap warga masyarakat tanpa mengira kaum haruslah bersatu-padu menggembleng tenaga mencegah dan membanteras supaya penyakit sosial ini tidak menular dengan lebih serius. Pihak atasan seperti badan-badan kerajaan dan kerajaan juga perlu lebih peka dan menganjurkan pelbagai ceramah atau motivasi kepada remaja supaya mereka mendapat lebih informasi tentang gejala ini dan sedar akan kesan daripada perbuatan tidak bermoral itu.


Dengan usaha-usaha yang dilakukan secara bersama dan menyeluruh ini, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah ini daripada terus menjadi satu penyakit berbahaya di negara Malaysia ini. Tiada siapa patut menuding jari pada pihak yang lain kerana setiap daripada kita adalah merupakan ahli masyarakat.

No comments:

Post a Comment