1. PEMBUANGAN
BAYI
Hamka
pernah mengungkapkan “Anak adalah untuk zaman yang akan datang, bukan untuk
zaman kita”. Setiap pasangan yang berkahwin sememangnya mengimpikan untuk
mempunyai anak sama ada lelaki atau perempuan sebagai penyambung keturunan
mereka di dunia ini. Anak yang dilahirkan akan dijaga dengan penuh kasih sayang
sehingga ada yang sanggup berjaga siang dan malam demi anak tersayang.
Walaubagaimanapun, sejak akhir-akhir ini kita selalu dihidangkan dengan berita
pembuangan bayi yang dilakukan oleh segolongan manusia yang berjiwa binatang.
Bayi yang dilahirkan dibuang bagaikan sampah di merata-rata tempat tanpa belas
kasihan. Oleh sebab itu, punca, kesan-kesan dan langkah-langkah untuk mengatasi
masalah pembuangan bayi akan dibincangkan demi kepentingan bersama.
Kes
pembuangan bayi diibaratkan sebagai penyakit sosial yang akan membelenggu
negara kita daripada menjadi masyarakat yang bersifat penyayang yang merupakan
salah satu daripada sembilan cabaran Wawasan 2020. Pembangunan dari segi
kerohanian pasti terbantut disebabkan nilai kemanusiaan diketepikan. Penyakit
sosial ini juga turut mencerminkan kerapuhan pegangan agama dan ketandusan
nilai kemanusiaan segelintir anggota masyarakat sehingga keliru antara amalan
yang mulia dan berdosa. Sebenarnya setiap manusia yang hidup memang mendapat
dorongan dan panduan dari agama masing-masing.
Sebenarnya
setiap manusia yang hidup memang mendapat dorongan dan panduan dari agama
masing-masing. Nilai murni sentiasa diberi penekanan. Malangnya nafsu dan
perasaan negatif telah mengaburi jiwa dan minda manusia sehingga bertindak
diluar batasan kemanusiaan. Bayi merupakan golongan yang tidak berdosa. Bayi
ibarat sehelai kain putih dan memerlukan kesabaran dan ketelitian orang dewasa
untuk mencorakkannya. Mereka mestilah dijaga dengan penuh kasih sayang.
Janganlah manusia bertindak mengikut perasaan dan berlaku zalim terhadap
mereka. Perlu disedari bahawa mereka akan membesar dan menjadi dewasa
seterusnya menjadi peneraju yang membawa hala tuju negara. Lantaran itu menjadi
satu kerugian kepada negara apabila masalah pembuangan bayi semakin berleluasa.
Pada
pendapat saya, punca utama yang menyebabkan pembuangan bayi keruntuhan
institusi kekeluargaan dalam masyarakat kita. Ibu bapa yang merupakan ketua
keluarga telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka mendidik anak-anak
menjadi insan yang bersahsiah dan berperibadi mulia. Mereka sibuk dengan
tugas-tugas seharian sehingga anak-anak terabai. Anak-anak yang kekurangan
perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mereka lebih cenderung untuk
mencari keseronokan di luar rumah. Akibatnya mereka terjebak ke kancah
permasalahan sosial seperti melakukan seks bebas sehingga mengandungkan anak
luar nikah. Pada masa itu barulah mereka sedar bahawa mereka sudah terlanjur
dan jalan terbaik untuk menyelesaikan permasalahan tersebut adalah dengan
membuang bayi yang dikandungkan. Mereka melakukan perbuatan terkutuk ini adalah
untuk menyembunyikan perbuatan keji mereka daripada pengetahuan ibu bapa.
Jelaslah bahawa kerapuhan institusi kekeluargaan merupakan punca utama
berlakunya masalah pembuangan bayi di negara kita.
Seterusnya
masalah pembuangan bayi juga berlaku disebabkan golongan lelaki yang tidak
bertanggungjawab. Sewaktu bercinta semuanya indah belaka sehingga si wanita
sanggup menyerahkan segalanya untuk membuktikan kesetiaan dan cinta kepada
pasangan mereka. Mereka mudah lemah kepada pujuk rayu kekasih hati yang
kononnya berjanji mahu sehidup semati dengan mereka. Akhirnya, mereka rela
bersekedudukan dengan pasangan bagaikan pasangan suami isteri walaupun tiada
ikatan perkahwinan. Setelah si wanita hamil maka berlakulah konflik dalam
kehidupan kerana si lelaki mahu melepaskan diri daripada tanggungjawab. Wanita
yang hamil tersebut terpaksa untuk membuang dan mengugurkan bayi dalam
kandungan demi menutup aib kerana mengandungkan anak luar nikah. Sekiranya
tidak mahu berbuat seperti yang diarahkan, mereka akan ditinggalkan. Dalam
situasi begini, si wanita tiada pilihan lain selain menurut kehendak pasangan
mereka, bak kata pepatah “ditelan mati emak, diluah mati bapa”.
Selanjutnya,
masalah pembuangan bayi semakin berleluasa di negara kita disebabkan
bertambahnya pusat-pusat hiburan di negara kita terutamanya di bandar-bandar
besar seperti Kuala Lumpur. Remaja lelaki dan perempuan biasanya berkumpul di
pusat-pusat hiburan ini pada setiap hujung minggu. Mereka bergaul bebas antara
lelaki dan perempuan sambil meminum minuman keras. Dalam keadaan separuh sedar,
remaja perempuan biasanya mudah digoda oleh remaja lelaki. Golongan remaja
sebegini tidak berfikir panjang dalam melakukan sesuatu kerana bagi mereka yang
penting ialah keseronokan. Perlakuan seks bebas yang berleluasa di pusat-pusat
hiburan menyebabkan ramai remaja yang terpengaruh sehingga ada dalam kalangan
mereka yang mengandungkan anak luar nikah. Apabila sudah mengandung barulah
mereka sedar kesilapan diri, ibarat kata pepatah, “sudah terhantuk baru nak
terngadah”. Walaubagaimanapun segalanya sudah tidak berguna kerana “nasi sudah
menjadi bubur”. Akibatnya mereka mengambil keputusan mudah iaitu membuang bayi
yang dikandungkan.
Bagi
mengatasi masalah ini, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling hendaklah
diperluas dalam kalangan remaja yang bermasalah. Remaja perempuan yang sudah
terlanjur sehingga mengandungkan anak luar nikah hendaklah dibantu bukannya
disisihkan dan dicerca. Ibu bapa hendaklah membawa mereka berjumpa dengan
kaunselor untuk memulihkan semangat dan keyakinan mereka sehingga anak yang
dikandungkan dilahirkan dengan sempurna. Kita harus tahu bahawa setiap insan melakukan
kesalahan, ibarat kata pepatah, “bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana
tidak bergelora”. Jika kita prihatin terhadap permasalahan mereka, sudah pasti
mereka tidak akan kehilangan arah dan hilang pertimbangan. Oleh itu,
perkhidmatan bimbingan dan kaunseling hendaklah diperhebat dan lebih mesra
remaja agar mereka tidak malu untuk menceritakan masalah dengan kaunselor
apabila mereka berhadapan dengan situasi begini.
Pembuangan
bayi dalam kalangan remaja pada hari ini akan memberi kesan dan impak yang
begitu besar dalam masyarakat. Remaja merupakan aset utama negara pada masa
akan datang dan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara.
Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti berlaku seandainya remaja pada
hari ini tidak tahu bagaimana untuk membentuk dan memuliakan akhlak mereka.
Kesan-kesan
pembuangan bayi boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian seperti kesan
kepada bayi, ibu yang melahirkan, keluarga remaja perempuan yang terlibat dalam
pembuangan bayi, kesan kepada masyarakat dan juga kesan kepada negara kita
sendiri. Bayi merupakan anugerah tuhan yang paling berharga kepada pasangan
suami isteri tetapi bayi juga menjadi
bebanan kepada pasangan-pasangan kekasih yang telah terlanjur dan tidak
bersedia memikul tanggungjawab di usia yang masih mentah iaitu usia remaja.
Akibat
dari tiada perasaan keperikemanusiaan, bayi telah menjadi mangsa dan kesannya
mereka hidup tanpa mengenal ibu bapa kandung. Mereka juga mungkin terpaksa
memikul gelaran anak luar nikah walaupun mereka tidak berdosa. Apa yang lebih
teruk, bayi-bayi ini mati akibat daripada perbuatan yang dilakukan oleh manusia
yang tidak mempunyai hati nurani kerana bayi-bayi ini dibuang di tempat yang
tidak sepatutnya diduduki oleh bayi yang masih lemah dan kecil misalnya dibuang
di tandas, rumah kosong, sungai, longkang, tong sampah atau rumah ibadat.
Selain itu, tempat-tempat tumpuan awam seperti gerai makan, stesen kereta api
dan pintu pagar klinik kesihatan turut menjadi pilihan. Kesempitan hidup wanita
yang hamil tanpa nikah ini biasanya dihantui perasaan takut dan malu serta
kemungkinan disisihkan oleh keluarga dan kawan-kawan.
Ekoran
daripada kesusahan hidup yang terpaksa dilalui, terdapat sindiket yang
mengambil kesempatan untuk memperdagangkan bayi-bayi itu dengan tujuan bagi
mendapatkan pulangan keuntungan yang lumayan. Kesan yang kedua adalah kesan
kepada ibu bayi berkenaan atau pesalah. Kesan dari sudut perubatan adalah
pesalah akan mengalami jangkitan kuman, kecederaan sewaktu bersalin dan juga
kehilangan darah kerana tidak berada dalam jagaan yang sebenar. Majoritinya
mereka melahirkan sendiri tanpa pertolongan pihak hospital mahupun orang lain.
Selain itu, kesan dari psikologi dan sosial adalah pesalah akan mengalami
kemurungan, hilang keyakinan diri, rasa bersalah, resah dan juga masalah emosi.
Hal ini akibat daripada perbuatan mereka sendiri yang sememangnya salah dari
segi undang-undang, agama dan negara.
Memandangkan
masalah pembuangan bayi meninggalkan kesan buruk dalam masyarakat, pelbagai langkah
dan inisiatif perlu diambil bagi membendung penyakit sosial ini. Ibu bapa
mestilah memainkan peranan yang sewajarnya terhadap anak-anak dari sudut
pergaulan sesama rakan agar tidak melampaui batas. Nilai murni dan kemanusiaan
serta pegangan agama yang kukuh haruslah disalurkan dalam jiwa anak-anak sejak
mereka kecil kerana melentur buluh biarlah ketika rebungnya. Insan yang
berakhlak mulia sejak kecil pasti tidak sanggup bertindak diluar norma
kehidupan untuk melakukan perlakuan yang negatif. Selain itu, pendedahan kepada
pendidikan moral dan agama merupakan langkah yang wajar kerana dapat menerapkan
nilai-nilai yang mulia.
Ibu
bapa harus menilai semula peranan mereka sebagai ketua keluarga. Mereka tidak
boleh terlalu materialistik sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada
anak-anak. Mereka harus meluangkan masa pada setiap hari untuk berkomunikasi
dengan anak-anak agar mereka tidak kehilangan tempat untuk mengadu. Para ibu
bapa harus sedar wang ringgit yang diberikan kepada anak-anak tidak dapat dijadikan
pengganti diri kerana wang ringgit itulah yang boleh menghancurkan kehidupan
anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah ambil tahu segala aktiviti yang dilakukan
oleh anak-anak mereka di luar rumah. Mereka tidak boleh lepas tangan kerana
“malang tidak berbau”. Ruang kebebasan yang diberikan terlalu banyak boleh
membuka ruang kepada anak-anak terpengaruh dengan pelbagai gejala sosial di
luar rumah. Jika kita mahu mengatasi masalah pembuangan bayi hingga ke akar
umbi, peranan ibu bapa hendaklah diperkasakan semula kerana pendidikan
seharusnya bermula dari rumah.
Undang-undang
bagi kes pembuangan bayi mesti diperketat lagi. Hukuman juga mestilah setimpal dengan
kesalahan yang mereka lakukan. Tindakan perundangan ini diharap dapat memberi
kesedaran kepada segelintir masyarakat supaya tidak melakukan sesuatu dengan
sesuka hati. Langkah menguatkuasakan hukuman yang berat wajar untuk membawa
pihak yang bertanggungjawab membunuh bayi dihadapkan ke mahkamah sekaligus
diberikan hukuman setimpal dengan tindakan tidak berperikemanusiaan. Oleh itu
tiada alasan dan maaf bagi mereka yang masih sanggup melakukan kesalahan
membuang bayi kerana perbuatan mereka tidak akan terlepas dari tindakan
undang-undang.
Kesedaran
sivik kepada masyarakat sahaja tidak mencukupi, masyarakat harus disedarkan
juga atas perlakuan jenayah membuang bayi ini dengan mengenakan hukuman yang
berat seperti gantung sampai mati ataupun hukuman penjara. Ini perlu bagi
membendung gejala ini yang semakin berleluasa dewasa ini serta amat
menggerunkan.
Pihak
yang bertanggungjawab perlulah membanteras pengedaran bahan-bahan lucah
daripada tatapan anggota masyarakat terutama golongan remaja. Seterusnya,
program-program hiburan melampau yang merosakkan akhlak perlulah dihentikan dan
ibubapa perlulah mengawal pergerakkan anak-anak dari terjebak dengan aktiviti
tidak bermoral. Usaha-usaha pencegahan kegiatan tidak bermoral perlulah
dipertingkatkan oleh semua pihak.
Secara
kesimpulannya, setiap warga masyarakat tanpa mengira kaum haruslah bersatu-padu
menggembleng tenaga mencegah dan membanteras supaya penyakit sosial ini tidak
menular dengan lebih serius. Pihak atasan seperti badan-badan kerajaan dan
kerajaan juga perlu lebih peka dan menganjurkan pelbagai ceramah atau motivasi
kepada remaja supaya mereka mendapat lebih informasi tentang gejala ini dan
sedar akan kesan daripada perbuatan tidak bermoral itu.
Dengan usaha-usaha
yang dilakukan secara bersama dan menyeluruh ini, ia sedikit sebanyak dapat
mengurangkan masalah ini daripada terus menjadi satu penyakit berbahaya di
negara Malaysia ini. Tiada siapa patut menuding jari pada pihak yang lain
kerana setiap daripada kita adalah merupakan ahli masyarakat.






