Friday, 31 May 2013

   2.    CATATAN PENGEMBARAAN DALAM NEGARA
Pantai Timur Semenanjung Malaysia menjanjikan kelainan baik dari segi aspek budaya, juadah tempatan mahu pun destinasi percutian. Selain pemandangan memukau diiringi bayu Laut China Selatan yang mendamaikan jiwa, negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang punya tarikan tersendiri.

Terengganu yang terkenal dengan resipi makanan dan kebudayaan sering menjadi destinasi pilihan utama bagi pelancong asing. Bagai tidak lengkap percutian di negeri bertuah ini andai tidak mencuri masa bersantai di pantai mahupun di pulau peranginannnya.

Pulau yang diiktiraf antara yang tercantik di dunia itu menjadi pilihan kerana pemandangan serta terumbu karang yang menampilkan keunikan tersendiri selain spesis ikan yang terdiri dari pelbagai warna dan variasi. Menaiki kereta dari Pulau Pinang, perjalanan menyusuri lebuhraya mengambil masa lebih kurang 6 jam sebelum tiba di bandar Kuala Besut. Panorama indah dengan kawasan bukit-bukau melambai-lambai mencuri perhatian sepanjang perjalanan.

Pada hari Jumaat, saya dan kawan saya menaiki kereta di Pulau Pinang menuju ke Kuala Besu. Perjalanan yang menarik dan penuh cabaran kerana lebuhrayanya berbukit-bukau tetapi kami amat seronok dan menikmati pemandangan-pemandangan yang menarik sepanjang perjalanan tersebut. Bagaikan pantas masa berlalu, enam jam lebih perjalanan berlalu begitu pantas.

Pada pukul 3 petang, kami tiba di Kuala Besut, terbentang jeti untuk ke Pulau Perhentian. Pelancong tidak akan sesat kerana banyak papan tanda arah boleh dijadikan panduan untuk ke jeti ke Pulau Perhentian. Kami berehat sebentar sambil menikmati makanan tengahari di pekan tersebut sementara menanti bot untuk ke sana. Setelah selesai makan tengahari, kami menaiki bot pada pukul 5.00 petang dan kami sangat teruja untuk menikmati pemandangan pantai yang menarik pada waktu petang.

Bot laju yang membawa kumpulan pelancong yang sedia ada telah menyebabkan kami ingin mengembara di syurga tempat percutian yang mengagumkan itu. Deruan angin dan ombak yang kuat telah membuatkan merasa takut pada mulanya ketika menaiki bot tetapi setelah ternampak sebuah pulau yang cantik, perasaan kami menjadi lega kerana akhirnya perjalanan kami selama sejam telah sampai juga akhirnya. Tidak sabar rasanya untuk memulakan pengembaraan di pulau terkenal itu, sekaligus menyelami khazanah alam semulajadi yang terus kekal terpelihara.

Bagaikan sebuah dunia asing, begitulah yang dirasai setibanya kami di Pulau Perhentian. Kami yang memilih menginap di Sharila Resorts disambut mesra bagaikan anggota keluarga sendiri. Kami rasa sangat dihargai dan merasa terharu dengan perkhidmatan yang diberikan. Kawasan resort tersebut sangat cantik dan menarik disamping rekabentuknya seperti bentuk rumah-rumah di kawasan perkampungan. Kami pun tidak membuang masa untuk mengambil gambar sebanyak yang mungkin sebagai tanda kenangan di pulau tersebut.

Inilah masanya untuk menyelami nadi Pulau Perhentian. Menyaksikan aktiviti petang bagaikan satu kemestian di pulau ini. Pelancong juga boleh bermain bola sepak dan bola tampar pantai dengan penduduk tempatan. Mereka cukup mesra dan baik hati. Puas menyusuri laluan di gigi air, saya termenung seketika sambil menyaksikan detik matahari terbenam.

Pada pukul 8.00 malam, apabila selesai membersihkan diri, sajian makan malam telah menanti tetamu di Sharila Resorts. Istimewanya, pelancong disajikan dengan menu masakan tempatan serta makanan laut segar yang menjadi identiti sajian makanan di Pulau Perhentian. Menariknya, pada malam itu juga harga-harga makanan yang disajikan amat berpatutan serta tidak membebankan pelancong yang menginap disitu. Kami menikmati makanan sambil mendengar deruan ombak pantai disertai iringan muzik yang mendamaikan jiwa serta sedap didengar. Pada malam itu juga kami tidak melepaskan peluang untuk berjalan di sekeliling pantai sambil beramah mesra dengan penduduk setempat. Pada pukul 12.00 tengah malam mata kami mula keletihan dan balik ke bilik untuk merehatkan diri dan tidur dengan nyenyaknya.

Pada keesokkan harinya setelah selesai menunaikan solat subuh, kami tidak merasa untuk menyambung tidur kembali. Kami ingin menghayati panorama fajar menyinsing di kawasan pantai. Bukan sahaja suasananya jauh berbeza tetapi udara pagi terasa begitu nyaman sekali apatah lagi menyaksikan detik matahari terbit dari timur. Indahnya suasana alam sehingga sukar digambarkan dengan kata-kata.

Kata orang tidak lengkap percutian ke Pulau Perhentian jika tidak menyertai aktiviti snorkeling. Di Pulau Perhentian terdapat beberapa lokasi menarik untuk aktiviti snorkeling dengan keindahan terumbu karang yang unik serta spesis ikan yang berwarna-warni. Dengan pakej serendah RM30, memang puas menjelajah keindahan panorama kehidupan di dasar laut. Setelah puas menyelam baru terasa keletihan dan kami membuat keputusan untuk pulang ke rumah dan berehat.

Untuk aktiviti pada waktu petang itu, kami telah berjalan-jalan di sekitar pulau tersebut yang kami tidak pergi pada hari pertama. Kami juga tidak melepaskan peluang untuk menangkap gambar beberapa keping sebagai tanda kami telah menjejak pulau tersebut. Setelah puas berjalan-jalan, kami terus ke restoran untuk menikmati makan malam. Seperti biasa kami telah memesan makanan segar dan makanan laut yang segar serta menyelerakan. Setelah selesai kami pulang ke bilik untuk berehat sambil menonton televisyen dan akhirnya melelapkan mata.

Pada hari terakhir hati terasa berat untuk pulang ke Pulau Pinang. Terasa mahu menghabiskan masa sekurang-kurangnya dua atau tiga hari lagi. Namun apakan daya waktu cuti yang terhad seakan mencemburui kami. Kami terpaksa bergegas untuk mengemas kerana akan menaiki bot pada pukul 8 pagi. Perjalanan kami dengan bot laju mengambil masa selama satu jam juga untuk ke jeti Kuala Besut. Kami berhenti seketika untuk menikmati sarapan pagi dan perjalanan diteruskan kembali sehingga sampai ke Pulau Pinang. Saya amat terasa puas dengan percutian di Pulau Perhentian. Dalam hati saya tertanam azam untuk bercuti lebih lama lagi di pulau berkenaan sambil membiarkan perasaan dibuai dengan angin bayu Pantai Laut China Selatan pada masa akan datang.




No comments:

Post a Comment