Friday, 31 May 2013

4.            BANTUAN RAKYAT 1MALAYSIA 2(BR1M 2)
Dewasa ini isu bantuan rakyat satu Malaysia 2 atau lebih dikenali sebagai BR1M 2 sedang hangat diperkatakan. Ada yang melihat dari sudut positif tidak kurang juga dari sudut negatif. Walau apa pun jua anggapan, setiap orang ada pendapat sendiri. Jika ditanya kepada saya, sudah pasti saya menyokong sebarang bentuk bantuan yang diberikan kepada rakyat. Lagipun wang kerajaan adalah sebahagiannya daripada rakyat juga dan adalah lebih baik dikembalikan kepada rakyat.

BR1M 2 ini yang saya lihat dapat membantu serba sedikit golongan rakyat termiskin di negara ini. Saya pernah mendengar cerita seorang perempuan tua yang berkata beliau cukup bersyukur mendapat bantuan RM500 tersebut kerana nilainya sama dengan gajinya sebagai tukang cuci selama sebulan. Bagi rakyat berkemampuan memanglah melihat nilai RM500 itu kecil tetapi tidak bagi rakyat yang miskin.

Akan tetapi saya merasa cukup pelik apabila ada segelintir individu berkemampuan cuba sedaya upaya untuk memohon BR1M 2 ini. Bagi saya mereka sepatutnya memberi laluan kepada rakyat yang lebih susah. Keadaan ini tidak berlaku dan mereka membuat pelbagai helah untuk melayakkan mereka untuk mendapat bantuan tersebut.

Tidak dinafikan kebanyakkan rakyat Malaysia membayar segala cukai kepada kerajaan secara langsung atau tidak langsung. Atas alasan ini mereka berpendapat mereka layak mendapatkan kembali apa yang mereka bayar. Bagi pendapat saya, konsep membayar ini cukai ini memang perlu terutamanya untuk mereka yang berkemampuan dan hasil cukai selain untuk pembangunan negara, sebahagiannya boleh digunakan untuk membantu rakyat susah dan dihimpit kemiskinan. Selain cukai pendapatan, rakyat berkemampuan yang beragama Islam wajib membayar zakat harta. Zakat ini juga digunakan untuk membangunkan ummah Islam di Malaysia.

Selari dengan bantuan ke atas rakyat, saya berpendapat adalah baiknya jika pihak berkuasa melakukan usaha yang lebih untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat secara berterusan selain bantuan yang bermusim. Maksud saya disini perkara ini bolehlah diperumpamakan dengan seorang nelayan dan keinginan untuk mendapat ikan. Janganlah membantu nelayan dengan memberi ikan tetapi bantulah mereka dengan memberikan pancing atau jalan dengan harapan mereka boleh mendapatkan ikan sendiri secara tetap selagi pancing dan jala itu berguna. Jika sudah rosak pun mereka boleh mendapatkan yang baru dengan hasil jualan ikan terdahulu.

Disini saya melihat adalah lebih baik untuk mencari formula membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat termiskin supaya mereka boleh hidup selesa dengan bantuan yang akan membawa kesan secara berpanjangan. Mungkin boleh diwujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang memerlukan tenaga rakyat termiskin ini untuk sesuatu yang bermanfaat. Mungkin boleh juga diwujudkan kursus-kursus kemahiran secara percuma untuk rakyat termiskin agar mereka boleh mendapatkan kemahiran tertentu yang boleh mereka gunakan untuk meningkatkan hasil pencarian.

Dari segi bantuan kerajaan kepada rakyat ini ada juga yang saya tidak bersetuju. Salah satunya ialah pemberian rebet untuk telefon bimbit. Sebabnya seolah-olah menggalakkan remaja yang layak untuk membeli telefon bimbit baru dengan potongan harga yang rendah. Mungkin juga ada pihak yang memanipulasikan harga telefon bimbit untuk mengambil untung atas angin. Manakala baucar buku 1Malaysia yang diberi kerajaan juga amat memberikan manfaat yang berguna kepada pelajar. Secara kesimpulannya apa pun bentuk bantuan yang diberikan kepada rakyat amatlah saya menyokong usaha murni tersebut. Namun demikian saya sangat tidak bersetuju jika bantuan yang diberikan digunakan oleh pihak tertentu untuk kepentingan mereka sendiri dan dan menguntungkan orang-orang yang berkemampuan sahaja.   

No comments:

Post a Comment