Friday, 31 May 2013

3.           CATATAN PERISTIWA “MEMORI DI SEKOLAH”
Semua orang mempunyai memori di sekolah masing-masing. Setiap orang akan merasa suka dan duka ketika berada di alam persekolahan. Memori yang saya tidak dapat lupakan ialah ketika saya bersekolah di Sekolah Menengah Agama (Arab) Maahad Ad-Dini di Alor Setar, Kedah. Ketika itu saya menduduki kelas tingkatan 1 dan 2 dan saya menjawat jawatan sebagai ketua kelas.

Tugas ketua kelas bukanlah satu perkara yang mudah ketika itu. Ini adalah kerana saya telah dilantik didalam kelas yang paling digeruni dan tercorot sekali di sekolah tersebut. Namun begitu saya terpaksa juga memikul tanggungjawab tersebut disebabkan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakan-rakan sekelas saya. Di antara cabaran-cabaran saya ketika menjawat jawatan tersebut ialah apabila berhadapan dengan masalah-masalah yang berlaku dalam kelas. Di antara perkara yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila ada sekumpulan pelajar yang membuat bising sehingga mengganggu  sesi pembelajaran di sekolah tersebut.

Mereka bercakap kuat, mengacau rakan sekelas yang lain dan merayau ke kelas yang lain. Kebetulan pada masa tersebut ada sekumpulan pengawas sekolah yang melalui di hadapan kelas kami dan telah melihat apa yang terjadi dalam kelas kami. Mereka terus memarahi dan mengarahkan pelajar di kelas saya supaya tidak membuat bising tetapi tidak diendahkan oleh pelajar-pelajar tersebut. Pengawas sekolah tersebut terus memanggil guru disiplin sekolah dan beliau bergegas datang ke kelas kami. Pada masa tersebut keadaan tidak dapat dikawal lagi sehingga ada pelajar yang bergaduh dalam kelas. Guru disiplin tersebut mengarahkan kami dengan memberi hukuman ‘jalan itik’ di sekeliling bangunan sekolah tersebut. Inilah yang dinamakan ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. Kami terpaksa rela untuk menjalani hukuman tersebut. Pada masa itu saya tidak dapat menahan rasa malu kerana terpaksa ‘jalan itik’ di hadapan semua kelas yang kami lalui. Dalam masa yang sama saya juga merasa geram dan marah terhadap rakan sekelas saya yang membuat bising. Namun demikian, kami bernasib baik apabila guru disiplin terus menyuruh kami masuk ke kelas dan memberikan peringatan kepada kami sekiranya kami melakukan perkara yang sama, beliau akan memberikan hukuman yang lebih berat lagi terhadap kelas kami.

Selain itu, memori yang tidak dapat saya lupakan ketika sekolah kami mengadakan qiamullaill di sebuah masjid di Alor Star. Kami telah diberi pendedahan mengenai amalan solat pada waktu malam dan dikehendaki untuk bangun pada waktu awal pagi. Apa yang menariknya ialah ada rakan-rakan saya yang susah hendak bangun pagi telah dikejutkan dengan semburan air dan mereka tetap juga tidak bangun tidur. Ahli jawatankuasa program telah mengarahkan mereka untuk tidur di luar masjid secara beramai-ramai dan mereka terpaksa mengulangi ayat-ayat  iaitu “Kami berjanji tidak akan buat lagi pada masa akan datang” sebanyak seratus kali.

Menariknya pada masa tersebut juga, pelbagai reaksi dan mimik muka yang dapat dilihat serta dipamerkan oleh mereka. Ada sebahagiannya sedang tidur lagi, sedih, menyesal dan gembira dengan hukuman yang dikenakan. Mereka juga didenda sehingga mereka betul-betul mengaku kesilapan mereka. Selepas kejadian tersebut perubahan yang dapat dilihat mereka telah bangun pada awal pagi keesokan harinya dan berada di saf hadapan ketika bersembahyang. Pada waktu itu saya amat merasa kagum dengan perubahan yang mereka pamerkan.


Sepanjang bergelar sebagai pelajar di sekolah tersebut saya merasa bangga dan berani untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua. Pengalaman-pengalaman tersebut telah mematangkan diri saya untuk memikul sesuatu tanggungjawab dan berani untuk menghadapi cabaran-cabaran yang sukar pada masa akan datang.  

No comments:

Post a Comment